KESATUAN

 Kesatuan bermaksud satu tema atau satu idea bagi semua unsur dalam sesuatu gubahan. Kesatuan dapat menimbulkan suasana yang tenteram, teratur dan selesa.

KEPELBAGAIAN

Kepelbagaian wujud hasil penggunaan pelbagai gaya, nilai, dan idea yang berbeza dalam sesuatu gubahan. Kepelbagaian dapat memberi gaya, variasi, tenaga, dan daya tarikan dalam sesuatu gubahan. Kepelbagaian dapat dihasilkan melalui penggunaan unsur seni seperti garisan, rupa dan warna yang pelbagai dalam sesuatu gubahan.

IRAMA dan PERGERAKAN

Pergerakan ialah keadaan yang bergetar, bergoyang, berayun, berpancar, bersinar-sinar dan sebagainya. Fungsi irama dan pergerakan ialah untuk memberi kesan lebih hidup dan realistik terhadap sesuatu gubahan. Pergerakan dapat dilihat melalui kesan angin, air, ombak, taufan dan sebagainya.

IMBANGAN

 Imbangan bermaksud kesamaan dan kesepadanan dari segi berat, tarikan dan tumpuan. Terdapat 2 jenis imbangan iaitu:

1. Imbangan simetri – unsur seni yang sama antara kiri dan kanan atau atas dan bawah (garisan ‘axis’ dilukis di tengah-tengah pembahagian tersebut).

Imbangan Simetri.

2. Imbangan tidak simetri – unsur seni tidak sama di kedua-dua bahagian tetapi mempunyai cirri-ciri yang menimbulkan kesan keseimbangan.

Imbangan Tidak Simetri.

PENEGASAN

Penegasan wujud apabila terdapat sesuatu unsur yang menonjol, kontra atau ganjil dalam sesuatu gubahan. Fungsi penegasan ialah untuk menarik perhatian, memberi fokus, dan mengelakkan kebosanan. Penegasan dapat dihasilkan melalui penggunaan unsur seni yang kontra atau asingkan objek yang hendak ditegaskan.

KONTRA

 Kontra wujud jika ada unsur-unsur seni yang bertentangan atau bercanggah dalam sesuatu gubahan. Fungsi kontra ialah untuk menarik perhatian, memberi fokus, mengelakkan kebosanan dan kesan pergerakan. Kontra dapat dihasilkan melalui penggunaan unsur seni, teknik dan bahan yang berlainan.

Kontra dari segi warna.

HARMONI

Harmoni ialah tindak balas tampak di dalam alam dan karya seni yang menyepadukan unsur-unsur seni seperti garisan, warna, rupa, bentuk, jalinan dan ruang. Susunan atau ulangan unsur-unsur seni mengikut cara yang tertentu. Harmoni tidak wujud jika ada ciri-ciri yang bercanggah. Harmoni mewujudkan keselesaan, kesesuaian, keseragaman, ketenangan dan kesatuan.

Harmoni dari segi bentuk.

PENGENALAN PRINSIP REKAAN

Prinsip rekaan adalah kaedah atau pengolahan unsur seni untuk menimbulkan gambaran tertentu dalam gubahan seni visual. Prinsip rekaan terbahagi kepada 7 prinsip rekaan iaitu :-

1. Harmoni.

2. Kontra.

3. Penegasan.

4. Imbangan.

5. Irama dan Pergerakan.

6. Kepelbagaian.

7. Kesatuan.